Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, mangsa, Haslan Hassan, 23, yang memandu kereta dan dua penumpang, Mohamad Solehin, 21, dan Idris Saari, 22. meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah.










Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Dr. Che Ghazali Che Awang berkata, kejadian berlaku semasa kenderaan yang dinaiki mereka datang arah Pantai Kok ke Ayer Hitam itu memasuki laluan bertentangan ketika di lokasi kejadian.

“Setelah memasuki laluan bertentangan, kereta yang dinaiki tiga pemuda itu bertembung dengan lori yang datang dari arah Ayer Hitam.

“Pemandu yang bekerja sebagai penjaga haiwan di Langkawi Wildlife Park itu bersama dua rakannya maut di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Langkawi untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Che Ghazali, kemala­ngan itu berlaku di jalan dua hala yang rata dan kering serta mempunyai garisan putih putus-putus.

Tambahnya, pemandu lori yang tidak mengalami kecederaan telah dibawa ke Balai Trafik Langkawi untuk membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN