• Semasa

    Dakwa ‘Diabaikan’ Tajaan Basikal, Ini Yang Dilakukan Oleh MB Terengganu Kepada Azizulhasni





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]


    Dakwa ‘Diabaikan’ Tajaan Basikal, Ini Yang Dilakukan Oleh MB Terengganu Kepada Azizulhasni


    KUALA TERENGGANU, 23 Ogos ― Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman dan atlet berbasikal negara Azizulhasni Awang telah bersemuka dan isu yang digembar-gemburkan tentang bantuan basikal telah diselesaikan secara baik.

    Kedua-duanya mengadakan pertemuan malam tadi dan mengambil pendekatan positif dengan merancang pelbagai perkara demi kebaikan kerajaan negeri serta pembangunan sukan di negeri ini.

    Ahmad Razif yang dihubungi Bernama di sini hari ini berkata beliau sentiasa berlapang dada untuk mendengar permasalahan yang berlaku akibat salah faham dan bersyukur kerana isu tersebut telah selesai.

    “Syukur Alhamdulillah, semuanya selesai,” katanya.


    Pertemuan yang berlangsung selama dua jam di sebuah restoran di Kuala Lumpur turut dihadiri dua lagi atlet berasal daripada Terengganu iaitu Fatihah Mustapa (berbasikal) serta Hafifi Mansor (angkat berat).

    Azizul yang memenangi pingat gangsa dalam acara Keirin di Olimpik Rio, sebelum ini dilapor sebagai berkata Ahmad Razif tidak mempedulikan permohonan pihaknya untuk membeli basikal 'roadbike' untuk beliau dan Fatihah gunakan sebagai persediaan ke Rio, menerusi laman Facebook 'Jojo Knoxville'.

    Manakala Ahmad Razif dalam kenyataan balasnya menegaskan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai permohonan tersebut malah tidak pernah mengenali pengurus Azizilhasni yang dikatakan cuba berhubung dengan beliau.

    Beliau turut mengarahkan Majlis Sukan Negeri (MSN) menyiasat dakwaan itu dan mengesan sekiranya berlaku sebarang salah faham.


    Sementara itu ketika pertemuan tersebut, Azizulhasni yang turut mambawa seorang anaknya kelihatan mesra malah memeluk serta bersalam dengan Ahmad Razif.

    “Saya amat berbangga dengan kejayaan anak-anak Terengganu termasuk Azizulhasni,” kata Ahmad Razif.

    Menerusi laman Facebook miliknya pula, Ahmad Razif menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengabaikan anak-anak muda daripada Terengganu dan mengakui bahawa apa yang berlaku mungkin terdapat kesilapan antara kedua-duanya.

    Berikutan itu beliau memohon agar tiada pihak lain yang memperbesarkan isu itu lagi, yang bagaikan menghidupkan api yang telah padam. 

    “Malah malam tadi ketika makan malam bersama Fatehah, Azizulhasni dan Hafifi, saya telah menerangkan apa yang terbuku di hati saya dan saya turut mendengar setiap keluh kesah, cabaran serta pengalaman yang mereka lalui untuk berada pada tahap ini sekarang.

    “Insya-Allah kita akan usahakan janji yang telah dikatakan iaitu untuk membuka galeri yang akan mempamerkan semua kejayaan yang telah dicapai oleh anak-anak Terengganu termasuk mereka bertiga supaya generasi akan datang tahu jasa dan bakti yang telah mereka lakukan untuk negeri ini,” luahnya di laman sosial tersebut.

    Sebelum ini, Ahmad Razif telah mengumumkan bahawa Azizulhasni akan memperoleh inisiatif tertentu dan kerajaan negeri merancang pelbagai program apabila beliau pulang ke Terengganu kelak, antaranya mengadakan pameran bergerak serta memahat namanya di Muzium Negeri sebagai wira dalam kecemerlangan sukan.


    Sementara itu Azizulhasni berkata pertemuan malam tadi memberi peluang kepadanya dan Ahmad Razif berbincang mengenai pembangunan dan kecemerlangan sukan berbasikal di Terengganu .

    “Kami berkongsi pemikiran dan pandangan mengenai banyak perkara ke arah kecemerlangan.

    “Seperti yang saya selalu kata, saya berbangga menjadi rakyat Malaysia dan Terengganu akan selalu di hati saya,” katanya dalam Facebook miliknya.

    Azizulhasni turut berterima kasih atas sambutan yang diberikan oleh kerajaan negeri Terengganu kepadanya. — Bernama

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad