"Sukar dapat watak utama di UK"


"Sukar dapat watak utama di UK" - Di Malaysia, wajah kacukan Melayu-Inggeris pelakon dan penyanyi Stephen Rahman Hughes memang diiktiraf sebagai wajah komersial.

Dia mudah mendapat tawaran dan watak diberikan meluas berdasarkan latar belakang keturunannya.
Bagaimanapun, Stephen, 47, mengakui sukar mendapat tempat di United Kingdom (UK) disebabkan persaingan yang sengit di sana.

Menurut pelakon yang berpangkalan di London itu, dia sentiasa mendapat watak stereotaip termasuk berbangsa India.

“Industri lakonan di sana memang sangat sengit. Saya sukar mendapat watak utama disebabkan wajah saya tidak menepati piawaian mereka.

“Pemilihan watak di sana berdasarkan imaginasi mereka. Pelakon yang dimahukan mestilah benar-benar sama seperti gambaran mereka.

“Ia bukan saja berlaku kepada saya, tetapi kepada sesiapa saja yang mahu mencuba nasib sebagai pelakon. Jadi, saya perlu lebih bekerja keras,” katanya kepada RAP, baru-baru ini.

Stephen pulang tanah air untuk mengendalikan bengkel latihan pelakon Ola Bola The Musical yang akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 22 Februari hingga 22 Mac tahun depan.
Pada masa sama, Stephen yang juga pelakon filem Hikayat Merong Mahawangsa dan teater Puteri Gunung Ledang The Musical turut menafikan dia sudah tidak laku di sini.

“Bukan tiada tawaran tetapi jadual lakonan saya di London sangat berbeza dengan di sini. Ada tawaran yang memerlukan saya untuk berada di sana sepanjang tahun.

“Bagaimanapun, saya bakal menjayakan sebuah filem tempatan tahun depan. Ia masih dalam perbincangan dan saya sangat sukakan skripnya,” katanya.

Kongsi ilmu dengan pelakon Ola Bola The Musical

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam pementasan Ola Bola The Musical, Stephen berkata, dia tidak terbabit menjayakan sebarang watak sebaliknya memenuhi permintaan Puan Sri Tiara Jacquelina untuk berkongsi ilmu.

Pengalaman itu sangat membanggakan selain dia sendiri aktif dengan pementasan teater di London.
“Untuk beberapa minggu ini, saya akan bersama-sama pelakon berlatih koreografi yang saya ajarkan. Ia sebuah koreografi yang istimewa dan cuba disampaikan dengan cara tersendiri.

“Syukur mereka dapat menguasainya dengan cepat dan boleh melakukannya sendiri selepas ini. Saya tidak menolak jika diberi watak ‘cameo’ dalam pementasan itu tapi ia tak mungkin berlaku kerana jadual saya di London cukup padat,” katanya.

Selepas menjayakan watak pembantu dalam muzikal Aladdin di sana tidak lama dulu, Stephen teruja dengan sebuah lagi teater berkonsep monolog pula.

“Watak yang saya bawakan mempunyai banyak personaliti. Ia sebuah naskhah yang memang dinanti-nantikan kerana bakal menonjolkan pelbagai kemampuan saya,” katanya.

Artikel The Viral News Lainnya :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top