• Semasa

    Malaysia mohon bantuan Indonesia buru Jamal





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    Malaysia mohon bantuan Indonesia buru Jamal. MALAYSIA akan meminta kerjasama pihak berkuasa Indonesia bagi memburu Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang dikatakan melarikan diri ke negara jiran itu.


    Malaysia mohon bantuan Indonesia buru Jamal


    Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada sebarang perlindungan yang boleh diberikan sedangkan Jamal sendiri mengetahui dia melanggar undang-undang.

    "Nak lindung apa, dia tahu dia buat salah, kemudian melarikan diri. Saya minta Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) untuk memburu beliau.

    "Katanya dia berada di Indonesia, kita minta kerjasama pihak polis di sana untuk cari beliau dan bawa balik ke sini. Kalau ada apa-apa kesalahan yang dilakukan, kita serah kepada pihak polis untuk ambil tindakan sesuai dengan undang-undang yang ada," katanya ketika ditemui sejurus menunaikan solat Isyak dan Terawih berjemaah di Masjid Jabatan Penjara Malaysia Kajang, malam ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas misteri kehilangan Pengerusi Gerakan Baju Merah itu yang turut meminta perlindungan daripada Muhyiddin.

    Jamal menghilangkan diri dari Hospital Ampang Putri, di Ampang sejak Jumaat lalu selepas diberikan ikat jamin polis, namun tidak sempat menyelesaikan proses itu.

    Semalam dalam satu rakaman video yang berlatar belakangkan kebun sawit, Jamal meminta Muhyiddin untuk memberi perlindungan kepadanya kerana mendakwa dirinya dianiaya.

    Dia juga tidak hadir di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya, semalam, selepas berjanji untuk tampil memberi kerjasama kepada pihak polis selain mengadakan sidang media selepas memberikan keterangan.

    Terdahulu, Muhyiddin yang tiba kira-kira jam 6 petang meluangkan masa berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah masjid berkenaan.

    Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan baju raya dan wang tunai kepada 30 anak yatim dari Pertubuhan Anak Yatim Sungai Jelok.

    Turut hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Kementerian Dalam Negeri Bersama Jabatan Penjara Malaysia itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar, Mohamad Fuzi dan Duta Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussen Saeed Qattan. - myMetro

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad