• Semasa

    Kemelut politik Perlis berakhir





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    Kemelut politik Perlis berakhir. KRISIS politik Perlis akhirnya selesai apabila sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menyokong pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis.


    Kemelut politik Perlis berakhir


    Perkara berkenaan disahkan ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad yang mengakui semua mereka termasuk ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim menjunjung titah dan akur dengan keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

    "Ia sudah selesai.... ini keputusan sebulat suara semua ADUN. Keputusan ini dibuat sebelum kami menghadap Tuanku di Istana Arau, kelmarin.

    "Kami sudah sebulat suara menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Raja.. segala titah baginda dan akur dengan keputusan yang dibuat.

    "Kami tidak mahu kemelut ini berpanjangan. Ini semua demi rakyat. Alhamdulillah semuanya kini sudah selesai," katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan sempena Bulan Ramadan, di Dewan 2020, Kangar.

    Asmaiza juga mengesahkan keputusan sebulat suara berkenaan juga sudah diketahui Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

    "Ya sudah semestinya beliau (Shahidan) tahu mengenai keputusan ini.

    "Keputusan ini dibuat semua sembilan ADUN. Datuk Ismail Kassim juga bersetuju, cuma Ahad lalu beliau tidak sempat pulang ke Perlis untuk menghadap Raja Perlis," katanya.

    Beliau turut mengesahkan pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) mungkin dibuat seawal minggu depan.

    Sementara itu, ADUN Titi Tinggi, Teh Chai Ann, turut memaklumkan semua mereka akan memberi kerjasama kepada Azlan dalam soal pentadbiran di negeri ini.

    Beliau menjelaskan, pendirian berkenaan diputuskan ketika semua mereka menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau, kelmarin

    “Dalam pertemuan dengan Raja Perlis, kami menjelaskan sebab tidak hadir pada majlis pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

    "Kami semua secara bersama juga memohon ampun kepada baginda (tidak hadir majlis pelantikan Azlan).

    “Kami juga akur, menjunjung dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Raja Perlis. Kalau baginda hendak Azlan (sebagai Menteri Besar) kami ikut keputusan itu,” katanya.

    Sementara itu, Azlan yang turut ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan sempena Bulan Ramadan hanya tersenyum ketika ditanya mengenai situasi semasa politik Perlis. - myMetro

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad