Bantuan Khas Aidilfitri esok

Bantuan Khas Aidilfitri esok. KUALA LUMPUR - Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2018 untuk mereka yang dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan Gred 41 dan ke bawah RM400 seorang dan pesara kerajaan sebanyak RM200 seorang akan dibayar esok pada (Selasa, 5 Jun).


Bantuan Khas Aidilfitri esok


Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling mengenai kaedah pelaksanaan bantuan khas itu menjelaskan, bantuan khas itu akan diberi kepada penjawat awam terlibat dengan syarat masih berkhidmat sehingga 5 Jun 2018 dan berada dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut bagi tempoh 1 Jan 2018 hingga 5 Jun 2018.

Tempoh 30 hari berturut-turut adalah termasuk semua jenis cuti bergaji penuh, semua jenis cuti separuh gaji, semua jenis cuti tanpa gaji, Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am bagi tempoh 1 Jan 2018 hingga 5 Jun 2018.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2018 itu menyenaraikan pegawai yang layak mendapat bantuan khas adalah pegawai lantikan tetap, sementara dan perkhidmatan kontrak, pegawai yang bercuti bergaji penuh, pegawai yang bercuti separuh gaji, pegawai yang bercuti tanpa gaji dan pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya dengan pembayaran bantuan khas itu dibuat oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai.

Bantuan khas itu turut diberikan kepada guru interim, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak, pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya dan pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran dan Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan Akta Saraan Hakim 1971.

Pekeliling itu menjelaskan pegawai yang dikenakan hukuman tata tertib dalam tempoh 1 Jan 2018 hingga 5 Jun 2018, pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dan tempoh 1 Jan 2018 hingga 5 Jun 2018 dan pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Jan hingga 5 Jun 2018 tidak layak menerima bantuan tersebut.

Bantuan khas RM400 itu juga akan dinikmati Pekerja Sambilan Harian yang masih berkhidmat pada 5 Jun 2018 dengan syarat tempoh kontraknya telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut dalam tempoh 1 Jan 2018 hingga 5 Jun 2018.

Sementara itu, Pesara Perkhidmatan Awam yang dilantik semula secara perkhidmatan kontrak dalam tempoh 1 Jan 2018 hingga 5 Jun 2018 layak diberi Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM400 dengan syarat pegawai telah berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.

Pembayaran RM200 akan dibuat oleh JPA dan bakinya RM200 akan dibayar jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat, menurut pekeliling itu.

Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang meninggal dunia pada 5 Jun 2018 juga layak diberi bantuan sebanyak RM400.

 Pada 30 Mei,  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pemberian bayaran khas  RM400 untuk penjawat awam gred 41 dan ke bawah manakala RM200 untuk pesara kerajaan. - Bernama

Artikel The Viral News Lainnya :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top