• Semasa

    Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    makam baru puteri limau purut

    Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak - Pada zaman dahulu kala ada saorang raja di negeri Perak yang bernama Sultan Mahmud Iskandar Syah yang bersemayam di atas takhta kerajaan yang berpusat di Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga. Baginda tidak mempunyai putra atau putri, cuma berempat saudara saja, dua lelaki dan dua perempuan. Yang lelaki bergelar Yang di Pertuan Muda bersemayam di Kampung Pulau Tiga yang sekarang dikenali sebagai Kampung Tok Paduka Raja.

    Baginda ini telah meninggal dunia terlebih dahulu dan telah di gelar dengan gelaran Al Marhum Pulau Tiga. Yang perempuan, seorang bergelar selepas mangkat ialah Syah Alam Muda Pulau Tiga iaitu Tuan Puteri Limau Purut. Setengah orang menggelarnya tuan Puteri Menara Konkong manakala seorang lagi bergelar Syah Alam Bongsu Sayong kerana meninggal dunia di Sayong. Nama-nama batang tubuh mereka tidak di ketahui.

    Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak

    Hendak dijadikan cerita, pada satu hari datang lah satu rombongan di raja dari Aceh ke Istana Sultan Perak di Geronggong kerana hendak meminang tuan Puteri Limau Purut. Rombongan itu pun masuk menghadap baginda sultan serta menyembahkan kedatangan rombongan di raja itu. Selepas mendengar sembah rombongan itu, maka Sultan pun bertitah supaya di tangguhkan jawapan ke masa yang lain. Maka, pulanglah rombongan itu ke negeri mereka semula lalu menghadap dan menyembahkan perkara berkenaan dengan penangguhan itu.

    Setelah beberapa ketika, Tuan Puteri Limau Purut yang tidak tahu menahu tentang rombongan yang meminangnya itu telah mendapat tahu bahawa Raja Aceh hendak meminang dirinya. Maka amat gembiralah hatinya yang sejak dahulu bercita-cita hendak berkelah-kelah ke hulu supaya dapat menenangkan hatinya yang duka itu. Seterusnya, bersiap-siaplah segala persiapan inang pengasuhnya akan segala alat-alat perkelahan di raja serta dimuatkan ke dalam perahu. Angkatan tuan Puteri dengan beberapa buah perahu itu pun memudik ke hulu sambil singgah di merata-rata kampung di tepi sungai itu. Mana-mana tempat yang di singgahnya, orang-orang kampung pun datang mengadap serta membawa persembahan seperti beras, sayur-sayuran dan lain lain sahingga penuh dalam perahu itu.

    darah putih

    Tidak berapa lama selepas itu, maka sampailah mereka ke satu tempat lalu mereka singgah dan naik ke darat serta bersiap-siap untuk berkelah. Dayang-dayang dan inang pengasuhnya pun tampil membuat kerja masing-masing. Dengan takdir yang ditentukan tuhan, sedang tuan Puteri memotong timun maka terkenalah mata pisau itu ke jarinya dan luka. Tuan Puteri pun berseru, “Jika darah luka di jari beta ini putih, beta akan mangkat di sini.” Dengan tidak semena dan tidak disangka-sangka, darah yang keluar dari luka tuan Puteri memang berwarna putih. Tidak berapa lama kemudian, tuan Puteri Limau Purut mangkat disitu.

    Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak


    makam lama puteri limau purut

    Perkhabaran tentang perihal kemangkatan tuan Putri Limau Purut itu pun dipersembahkan kepada Sultan di Geronggong. Baginda amat sedih dan duka cita di atas kemangkatan Paduka Adinda tuan Putri Limau Purut itu. Baginda pun berangkat memudik serta membawa segala alat-alat kelengkapan di raja untuk mengkebumikan tuan Putri Limau Purut. Setelah hal pengebumian Putri Limau Purut selesai, baginda sultan pun pulang ke istana dan baginda terus menghantar utusan ke Aceh untuk memberi tahu yang tuan Putri Limau Purut sudah meninggal dunia.

    makam baru puteri limau purut

    Baginda Raja Aceh terus murka setelah mendengar khabar yang dibawa oleh utusan Perak itu dan menyatakan bahawa khabaran ini adalah hanya satu helah untuk menolak lamaran sahaja. Baginda Raja Aceh lantas terus mengerahkan bala tenteranya untuk bersiap sedia menyerang negeri Perak. Maka berangkatlah angkatan tentera perang Aceh menuju ke Perak. Malangnya Kerajaan Perak tidak membuat apa-apa persiapan dan perkara ini tidak dijangka lansung akan berlaku. - orangperak.com

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad