• Semasa

    Mangsa Selamat Tragedi Taufiqiah Al-Khairiah Kongsi Kisah Ngeri Selepas 28 Tahun





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    Mangsa Selamat Tragedi Taufiqiah Al-Khairiah Kongsi Kisah Ngeri Selepas 28 Tahun

    Mangsa Selamat Tragedi Taufiqiah Al-Khairiah Kongsi Kisah Ngeri Selepas 28 Tahun - Semalam, 22 September, genap 28 tahun tragedi kebakaran Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah (Pondok Pak Ya) berlaku.

    Namun, bagi sesetengah orang kejadian tersebut mungkin masih berlegar-legar di minda mereka.
    Siti Hajar Abu Bakar, 42, antara orang terawal yang menyaksikan kebakaran yang berlaku di Yan, Kedah itu. Kebakaran yang meragut 27 nyawa kawannya dengan sekelip mata.

    Mangsa Selamat Tragedi Taufiqiah Al-Khairiah Kongsi Kisah Ngeri Selepas 28 Tahun


    “Biarpun hari ini, 22 September (semalam) genap 28 tahun kejadian itu berlalu, namun jeritan dan lambaian rakan-rakan saya meminta tolong masih segar dalam ingatan,” katanya dipetik laporan Harian Metro.

    Mungkin masih trauma dengan kejadian itu, Hajar mengakui tragedi berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September lalu seperti menayangkan semula memori pahit yang pernah dilaluinya dulu.

    Siti Hajar menyatakan mendapat perkhabaran sedih itu dari rakannya yang kebetulan merupakan anggota bomba dan bertugas dalam misi menyelamat pusat tahfiz di ibu negara tersebut.

    “Ketika itu 15 mayat sudah dijumpai. Saya cakap cukup! cukup! Jangan bagi lagi. Sesaat sahaja, air mata saya berjurai jatuh.

    “Kejadian itu mengingatkan saya kepada rakan-rakan saya yang berada di Syurga sana. Walaupun 28 tahun, wajah mereka segar dalam ingatan saya,” ujar Siti Hajar.

    Disebabkan terlalu sedih sehingga air matanya seakan tidak mahu berhenti, dia yang juga anggota polis terpaksa meminta izin untuk pulang kerana tidak dapat meneruskan kerja seperti biasa.

    Tambahnya lagi, dia juga tidak boleh mendengar atau melihat apa-apa berita yang melibatkan tragedi itu.

    “Saya akan terbayangkan rakan-rakan saya. Saya ada terlihat gambar jasad mereka (pelajar tahfiz) yang terkorban.

    “Biarpun saya seorang anggota polis, tetapi saya tidak kuat untuk pergi ke tempat kejadian kebakaran, saya pasti akan teringat jeritan dan lambaian tangan rakan-rakan meminta tolong,” tambahnya.

    Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini turut menceritakan detik-detik cemas yang dilaluinya hampir tiga dekad lalu. Kejadian tersebut berlaku selepas pelajar-pelajar madrasah itu selesai mengadakan majlis makan malam.

    “Pada malam kejadian, ketika saya berada di sebuah lagi asrama yang lain, saya ternampak cahaya yang begitu terang di Asrama E. Saya orang pertama yang nampak ada kebakaran lalu pergi ke rumah ustaz untuk mengejutkannya.

    “Apabila datang semula ke Asrama E, api sudah marak. Ramai rakan yang sudah terbakar, menjerit dan meminta tolong. Ramai yang terjun dari bangunan papan itu, berlari menyelamatkan diri. Tetapi saya tahu, ramai lagi rakan berada di dalam.

    “Sebaik melangkah untuk memasuki bangunan terbakar itu, ada rakan lain yang memeluk saya, menampar saya dan diminta mengucap. Ketika itu saya menangis sekuat hati, saya tidak sanggup melihat ramai rakan saya tidak sempat menyelamatkan diri,” ceritanya.

    Walaupun menjangkau 28 tahun perkara itu berlaku, dia tidak pernah melupakan raut wajah rakan-rakannya itu sebaliknya sentiasa menziarahi pusara mereka yang terletak berdekatan dengan lokasi kebakaran.

    Siti Hajar juga sering bermimpi tentang rakan-rakannya yang memberitahu mereka bahagia di Syurga sambil melemparkan senyuman kepadanya.

    Wanita ini turut menyimpan Al-Quran pemberian salah seorang mangsa yang terkorban dan sering membawanya ke tempat kerja. Katanya Al-Quran itu sebagai kenangan terakhir dan tanda persahabatan antara mereka.

    Semoga semua mangsa yang terkorban dalam tragedi Pondok Pak Ya dan Pusat Tahfiz Ittifaqiyah sentiasa dirahmati-Nya. Al-Fatihah.

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad