• Semasa

    Saya Rela Digari Daripada Biar Anak Selangor Mabuk Arak, Kata Jamal





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]


    Saya Rela Digari Daripada Biar Anak Selangor Mabuk Arak, Kata Jamal - SHAH ALAM Datuk Seri Jamal Yunos hari ini berkata beliau rela digari dan dipenjarakan demi memastikan anak muda Selangor tidak terjebak dengan aktiviti meminum arak.

    Ketua Umno Sungai Besar itu yang dibawa ke Mahkamah Majistret di sini selepas ditahan polis malam tadi, berkata beliau tidak rela melihat rakyat Selangor “mabuk” dengan menyertai pesta arak.

    “Walaupun saya digari, ditangkap tapi saya tidak rela melihat anak-anak di Selangor menjadi mabuk di bawah pimpinan (Datuk Seri) Azmin Ali, ini mesej yang saya ingin sampaikan,” kata Jamal di perkarangan mahkamah diiringi pihak polis.

    Jamal juga meminta supaya Azmin tidak tunduk dengan tekanan DAP bagi menyokong pesta arak di Selangor.

    “Saya harap kerajaan pimpinan Azmin jangan tunduk dengan tekanan DAP, keuntungan adalah hanya kepada pihak penganjur.

    “Arak ini bukan Melayu Islam sahaja tidak suka malah Cina, India banyak yang tidak suka minum arak, mereka tidak suka melihat anak mereka berpesta,” katanya.


    Semalam, Jamal bersama sekumpulan lelaki lain di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) sebelum melemparkan beberapa botol arak di luar pintu pagar pusat pentadbiran kerajaan negeri itu.

    Lewat malam tadi, polis menahan Jamal dan 7 lain untuk siasatan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyertai perhimpunan haram, dan Seksyen 268 kerana menyebabkan kemudaratan awam.

    Mahkamah hari ini membenarkan polis mereman Jamal selama 3 hari.

    Isnin lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis tidak membenarkan penganjuran pesta arak “Better Beer Festival” ekoran wujud ancaman militan. Pesta itu sebelum ini dirancang diadakan di Kuala Lumpur dan Klang tetapi menerima bantahan PAS dan beberapa NGO.

    Azmin yang juga menteri besar Selangor sebelum ini berkata beliau menyerahkan sepenuhnya soal permit pesta itu kepada pihak berkuasa tempatan.

    Sumber: FMT

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad