• Semasa

    Terkini! Ketua Polis Negara bakal dipecat, tiga unit jabatan PDRM dihapuskan?





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    Terkini! Ketua Polis Negara bakal dipecat, tiga unit jabatan PDRM dihapuskan? | KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka akan ditamatkan perkhidmatan bulan depan termasuklah Ketua Polis Negara, lapor The Straits Times.


    Terkini! Ketua Polis Negara bakal dipecat, tiga unit jabatan PDRM dihapuskan?


    Jelas sumber yang enggan dikenali, tindakan itu merupakan salah satu langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk ‘membersihkan’ organisasi tersebut.

    Tiga jabatan yang dipercayai mengamalkan rasuah dijangka akan dimansuhkan, manakala segelintir ketua bahagian juga bakal dipecat.

    “Ya, akan ada rombakan besar-besaran 8.5 skala Richter di PDRM tidak lama lagi pada Julai,” jelas sumber berkenaan.

    Ketika ditanya siapakah yang bakal menjadi mangsa pertama rombakan tersebut, sumber menyifatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun antara yang akan digantikan.
    Bagaimanapun, sumber tidak memberitahu punca mengapa perkhidmatan Fuzi bakal ditamatkan.

    Tiga jabatan yang dijangka akan dihapuskan adalah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

    Perubahan ini dilihat mencerminkan aktiviti pembaharuan yang giat dijalankan PH terhadap kebanyakan organisasi dalam usaha memperkukuhkan kedudukan mereka serta meneruskan agenda reformasi kerajaan.

    Mengulas mengenai jangkaan penutupan tiga jabatan ‘khas’ itu, sumber mendedahkan bahawa penglibatan mereka dalam rasuah serta melindungi penjenayah yang sepatutnya ditahan merupakan masalah besar yang dihadapi PDRM selama ini.

    “Itu merupakan salah satu punca utama mengapa terdapat rancangan untuk memansuhkan STAGG, STAFOC dan STING.

    “Terlalu ramai daripada mereka yang diamanahkan untuk melawan ‘dunia hitam’ ini bertindak melindungi orang-orang ini,”ujarnya.

    Tahun lalu, kajian yang dilakukan Transparency International Malaysia (TI-M), pasukan polis dinilai sebagai institusi paling korup di negara ini.

    Tambahnya, Cawangan Khas pasukan polis negara telah mengemukakan kepada kerajaan tiga calon berpotensi untuk mengisi kekosongan memimpin PDRM.

    Antara nama yang disebut bakal menjawat jawatan berkenaan adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam fizik dari Universiti Malaya.

    Dikenali dengan pendekatannya yang tegas, Noor Rashid sebelum ini mengetuai Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman sebelum dinaikkan pangkat ke jawatannya sekarang.

    Selain itu, beliau telah memegang banyak jawatan besar dalam kerjaya selama 31 tahun, termasuklah sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah.

    Menurut sumber berkenaan, satu lagi nama yang disebut-sebut adalah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. Sebelum dilantik memimpin Jabatan Sumber dan Teknologi Strategik, Acryl merupakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

    Sepanjang kerjayanya, beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Polis Perak serta Ketua Polis Sarawak. Bagaimanapun, nama calon ketiga yang dihantar kepada kerajaan tidak dapat disahkan.
    Mengulas lanjut, sumber turut memberitahu bahawa segelintir ketua jabatan peringkat tinggi lain tidak dicalonkan kerana dikatakan ‘tidak bersih’.

    “Ada di antara mereka yang mempunyai kekayaan berlebihan. Tidak masuk akal bagaimana sesetengah daripada mereka boleh memiliki kereta mewah yang banyak, malah mendiami rumah banglo.

    “Ada pula yang menyalahgunakan kuasa mereka – salah seorang daripada mereka telah menyalahgunakan kuasa beliau ketika memimpin sebuah jabatan dengan menggunakan perkhidmatan outriders.

    “Dia tidak berhak menggunakan perkhidmatan tersebut (pada masa itu),” ujarnya lagi.
    Beberapa nama lain yang tidak dicalonkan adalah kerana kesetiaan mereka terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Bulan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau mempunyai masalah mempercayai individu yang layak untuk menyiasat Najib.

    Dalam satu wawancara bersama Sinar Harian pula, Mahathir menyifatkan keputusan awal sebelum ini bahawa beliau akan memegang jawatan perdana menteri selama dua tahun bukanlah keputusan muktamad.

    “Ia (tempoh dua tahun) merupakan satu cadangan, tapi ia tidaklah tetap. Boleh jadi lebih awal ataupun lebih lewat,” jelasnya mengenai perkara itu. –MYNEWSHUB.CC/EZ

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad