"Wings Akan Buat Konsert Amal Bantu Yazit" - Kata Awie
KUALA LUMPUR - Kumpulan rock, Wings, meluahkan hasrat untuk membantu pemain dram Search, Yazit Ahmad, 54, yang menderita sakit buah pinggang, lapor Harian Metro.
Vokalisnya, Awie, 48, berkata, dia bersama dengan anggota Wings yang lain kini dalam proses perbincangan untuk menganjurkan persembahan amal bagi mengumpul dana membantu Yazit.
"Sebagai rakan yang sudah lama mengenali Yazit, kami terpanggil untuk membantunya. Apatah lagi sekarang timbul konflik membabitkan dia dengan anggota Search.
"Bukan Wings sahaja, malah ada beberapa pelawak dan pelakon lain juga yang turut meluahkan rasa simpati dengan Yazit, akan bersama kami dalam program amal ini," katanya.
Menurut Awie, idea tersebut telah lama difikirkan, namun belum dapat direalisasikan kerana mereka memerlukan pendapat pelbagai pihak, mekanisma dan idea yang terbaik untuk menjayakannya.
"Kami tidak mahu ia dilihat sebagai program syok sendiri," katanya.
Di media sosial, para peminat muzik rock tampil menyatakan sokongan terhadap usaha Wings itu.
"Tahniah di atas usaha Awie dan Wings mahu meringankan bebanan abang Yazit kita. Moga usaha murni ini menemui kejayaan serta nasib Yazit terbela," kata Miela Juwita.
"Awie inilah contoh abang yang terbaik. Lihat saja dalam kumpulan Wings, hubungan bagaikan adik beradik. Mana ada nak pancung sesama diri? Respect Wings! Ini baru betul-betul brotherhood!" kata Shahril. - PIXEL MEDIA
No comments