Roziah Yusuf, 42, warganegara Thailand, akan tinggal sementara di pusat berkenaan sehingga siasatan ke atas mereka selesai.
Sebelum ini, mereka dibenarkan menginap sehari di Pusat Transit Kuala Lumpur untuk gelandangan.
Menurut Roziah, keluarganya kehilangan tempat tinggal dan terpaksa mengemis untuk hidup kerana mereka tidak mampu untuk membayar sewa rumah di Cheras Baru, tempat tinggal bersama suaminya warganegara Myanmar.
Roziah mempunyai tujuh anak berusia antara 17 bulan hingga 20 tahun dan dua cucu berusia tiga dan sembilan tahun. Suaminya telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Lorong Haji Taib 4, tahun lalu.
"Kami telah tinggal di negara ini selama 18 tahun. Arwah suami yang menyara kami selama ini tetapi dia telah meninggal dunia. Kami benar-benar hilang tempat bergantung," katanya menangis ketika ditemubual wartawan Bernama.
Menurut Roziah, dia tidak menghantar keluarganya ke pusat transit kerana mereka bukan warganegara Malaysia.
"Tetapi sekarang saya bersyukur kerana kami telah diberi tempat tinggal dan ramai orang yang telah tampil memberikan bantuan," katanya.
Rabu lalu, Shahrul Nizam, memuat naik gambar Roziah dan keluarganya di Facebook dengan kapsyen yang mengatakan bahawa mereka sekeluarga terpaksa hidup di kaki lima kerana tidak mampu menyewa setelah kematian suaminya.
Bagaimanapun, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Baitulmal berkata, Roziah dan keluarganya telah diberi bantuan dua kali, yang terbaru pada 13 Julai lalu. Selain itu, ini merupakan kali ketiga kisah keluarga itu viral di media sosial dan Baitulmal telah membantu mereka sejak 2015 serta telah dimaklumkan kepada kedutaan Thailand dan Jabatan Imigresen.
Pada 18 Jun 2015, Roziah mendakwa bahawa suaminya telah dipenjarakan di Terengganu dan keluarganya telah menyewa sebuah rumah di Taman Muda, Cheras dengan sewa RM250 sebulan. Bagaimanapun, 13 Julai lalu Roziah mendakwa suaminya telah meninggal dunia akibat kemalangan.
Menurut Baitulmal, keluarga itu telah mengemis simpati orang ramai di sekitar kawasan Plaza Imbi, Plaza Sungei Wang dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Jumlah pendapatan mengemis sehari mereka berjaya memperolehi RM150 - RM250 sehari. - The Reporter
No comments