Teruja Nasihat Kaum Wanita, Sedangkan Kaum Lelaki Lebih Bermasalah
Setelah lama juga mendiamkan diri, setelah surat 'dakwahnya' menjadi viral dengan pelbagai respon bercampur positif dan negatif, lelaki tersebut telah mengeluarkan kenyataan balas terhadap suratnya itu.
Saya sudah lama perhatikan gejala teruja menasihati kaum wanita oleh para ustaz daripada isu kaki lengan adalah aurat sehinggalah bagaimana menjadi isteri yang taat. Sama ada yang ceramah di televisyen, radio, majalah, media sosial dan lain-lain yang kelihatan bermasalah dan perlu dinasihati segera adalah para wanita.
Para lelaki dan ustaz, kalau anda memang tidak tahu atau tidak perasan, ada satu kaum yang memerlukan nasihat, didikan, brainwash, sentuhan belaian kasih dan segala macam uslub dakwah yang kalian belajar adalah kaum lelaki.
Tak percaya? Saya berbohong? Kaum lelaki di Malaysia tak ada buat masalah? Kalau anda tidak jumpa barang sebutir lelaki yang perlu dinasihati dan perhatian anda, secara segera dan intensif sila hubungi saya!
Saya menanti para lelaki sejati sudi menghubungi dan berdakwah kepada lelaki-lekai bagi kes-kes di bawah:
- Semalam klien saya datang dengan membawa filem x-ray dan gambar hasil sepak terajang suaminya (lelaki) selama 10 tahun berkahwin. Mukanya, belakang badannya lebam dan fractured dikerjakan lelaki.
- Klien saya menunjukkan satu video atas ranjang penuh sensual antara suaminya (lelaki) dengan seorang wanita yang bukan isterinya. Videonya bukan satu tetapi banyak. Suaminya mengaku melakukan perbuatan itu dan tanpa rasa bersalah dia meneruskan aktiviti ranjangnya dengan pengetahuan isterinya.
- Klien saya mohon fasakh tetapi suka membuktikan yang setiap kali buat hubungan kelamin dengan suami (lelaki), dia dipaksa menelan pil dadah dan disumbat satu alat yang menyakitkan untuk mendapatkan kepuasan seks oleh suaminya.
- Klien saya yang dicurangi selama 9 tahun oleh suaminya (lelaki) yang dikenal 'alim', memohon untuk berpoligami. Sedangkan banyak hutang di atas nama isteri sehingga isteri hampir muflis, kereta hampir kena tarik, syarikat hampir muflis. Sudahlah suaminya (lelaki) dibuktikan mandul sejak awal berkahwin, namun isterinya tetap setia. Malangnya dibalas dengan kecurangan dan kebangkrapan.
- Saya mangsa ragut bersenjata, nyawa hampir melayang dilibas parang oleh dua lelaki sehingga saya dimasukkan ke hospital. Banyak sekali kes ragut, rompak, bunuh dan segala jenayah kejam dimonopoli oleh kaum lelaki.
Banyak lagi dan sungguh banyak kes yang belum saya kongsi. Saya harap para graduan Imam Muda, Da'i, Pencetus Ummah dapat 'menyantuni' kaum lelaki yang bermasalah dan boleh menghubungi saya atau mana-mana peguam jika anda tidak berjumpa barang sebutir objek dakwah daripada kaum lelaki.
Tentang masalah kaum wanita? Oh, jangan risau, kami para wanita ada plan strategik, jawatankuasa khas, cabang khas dan segala macam program untuk wanita. Sungguhpun tak terlibat kami menulis surat cinta untuk mereka di Facebook. - Nurul Izzah | The Reporter
No comments