• Semasa

    Nak Cepat Kaya Punya Pasal, Inilah Padahnya...





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]


    Nak Cepat Kaya Punya Pasal, Inilah Padahnya...

    Siapa tak nak kaya? Siapa yang tak nak duit masuk ke poket dengan mudah, tanpa susah-susah bekerja? Ini fitrah semula jadi manusia, inginkan kesenangan dan kekayaan dalam hidup.

    Kalau ada rezeki nak datang bergolek (kononnya), ramai yang akan berbut-rebut dan tidak melepaskan peluang.

    Tambahan pula dalam keadaan ekonomi yang agak menekan pada masa ini ramai dalam kalangan kita terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana sentiasa mencuba serta mengintai peluang untuk menambahkan pendapatan.

    Fitrah inginkan kesenangan dan persekitaran ekonomi yang menekan inilah yang mungkin menyebabkan ramai individu tersalah langkah apabila terjebak aktiviti pelaburan haram yang teramat mudah mencari mangsa dalam era siber ini.

    Selasa lalu, muka depan Harian Metro menyiarkan keluhan beberapa individu yang kerugian selepas puluhan ribu ringgit dilaburkan mereka kepada sebuah syarikat pelaburan yang kononnya berteraskan Islam, gagal memberi pulangan dijanjikan.

    Pada 2014 Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyenaraihitamkan syarikat pelaburan berkenaan selepas 10,000 pelaburnya kerugian dengan jumlah keseluruhan mencecah RM35 juta.

    Ketika itu penganjur yang mengutip pelaburan secara haram itu menggunakan nama Mecca Fund Global tapi kini ia aktif semula dengan nama baru iaitu Makkah Islamic Fund.

    Penganjur mudah menarik pelabur dengan menguar-uarkan wang pelaburan digunakan untuk memajak bilik hotel di Makkah dengan pelaburan minimum sebanyak AS$1,000 atau RM3,500 bagi setiap satu lot.

    Pulangan keuntungan yang dijanjikan amat luar biasa iaitu 360 peratus setahun. Ini satu jumlah yang mungkin paling tinggi dalam mana-mana skim pelaburan di dunia.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani berkata, siasatan awal polis mendapati Mecca Fund Global dan Makkah Islamic Fund menggunakan modus operandi sama iaitu menawarkan pulangan lumayan dengan bermodalkan pelaburan hartanah di Makkah.

    Selain itu, semakan di Portal e-Fatwa mendapati Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 10 dan11 Februari 2015 memutuskan operasi Mecca Fund Global tidak mengikut prinsip mudharabah sebenar dan tidak sah mengikut hukum syarak.

    Pelaburan dijalankan juga didapati melanggar undang-undang negara kerana mengambil deposit daripada pelabur tanpa kebenaran BNM. Umat Islam dinasihatkan tidak terlibat dalam skim pelaburan ini.

    Berdasarkan kenyataan BNM, Polis Bukit Aman dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, sudah amat jelas bahawa umat Islam di Malaysia tidak sepatutnya melabur dengan Mecca Fund Global atau Makkah Islamic Fund.

    Namun, agak aneh dan lucu apabila ada segelintir daripada pelabur masih tidak berpuas hati dan inginkan penjelasan lebih lanjut mengenai status skim pelaburan ini. Pelabur dimaksudkan ialah beberapa kenalan saya sendiri.

    Mereka masih percaya alasan diberikan penganjur skim pelaburan itu yang mendakwa kegagalan pihaknya memberi pulangan pelaburan dijanjikan berpunca daripada penyelewengan dana oleh beberapa ketua atau ejen yang mengutip pelaburan.

    Apabila saya memberikan bukti iaitu kenyataan oleh polis BNM dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, mereka beranggapan itu semua usaha menidakkan kejayaan skim pelaburan hebat yang dipelopori individu Islam.

    “Ini sebenarnya skim cepat kaya…tapi diberi nafas baru atau penjenamaan semula bersesuaian dengan zaman Internet sekarang,” kata saya.

    Malangnya, rakan terbabit masih tidak menerimanya. Jadi, tak guna saya bercerita panjang lebar dan hanya meminta mereka supaya tidak mengganggu saya lagi.

    Saya bertegas memberitahu bahawa Harian Metro tak akan menulis berita mengatakan skim pelaburan disertai mereka itu benar kerana sudah terang lagi bersuluh ia perkara salah.

    Hasil perbualan dengan rakan terbabit, dia memaklumkan ramai pelabur skim berkenaan adalah orang-orang hebat. Ada bekerjaya profesional seperti arkitek, doktor, ahli perniagaan, ahli akademik dan tak kurang juga ahli agama seperti imam dan ustaz.

    Jadi, itu antara faktor yang dianggapnya boleh ‘menghalalkan’ skim yang haram itu. Namun, saya melihat pembabitan golongan profesional itu daripada perspektif berbeza.

    Ia sekadar satu peringatan kepada saya betapa dugaan wang ringgit dan kekayaan amat hebat. Orang akan mudah hilang pertimbangan dan keintelektualan kerananya.

    Disebabkan berasa diri hebat, lebih alim dan lebih intelek, nasihat orang cukup susah diterima. Perkara yang jelas salah masih mahu dikata benar hingga undang-undang negara dan hukum agama, turut ditolak ke tepi. - myMetro

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad