• Semasa

    SAYU !! "Saya tidak sempat pun beri setitik susu saya pada Muhammad"





    [BACA: Petua Berkesan Rawat Sakit Kepala Dan Angin]

    SAYU !! "Saya tidak sempat pun beri setitik susu saya pada Muhammad" - PERINGATAN: Kisah ini dikongsi untuk memberi peringatan kepada semua dan bukan mahu menghentam mana-mana pihak (nama hospital juga tidak akan didedahkan) agar setiap wanita bersedia dengan pelbagai kebarangkalian ketika di labour room nanti.

    SAYU !! "Saya tidak sempat pun beri setitik susu saya pada Muhammad"


    Ibu mana yang tidak sedih apabila anak dari kantung rahimnya disahkan meninggal dunia disebabkan kecuaian orang lain. Buat ibu-ibu yang lain, tolonglah ambil tahu apa yang ibu-ibu akan lalui semasa berada di labour room nanti. Walaupun Muhammad anak kedua saya, tetapi rasa pedih hati ini sakit sekali. Allah.


    SAYU !! "Saya tidak sempat pun beri setitik susu saya pada Muhammad"


    Pada 22 Disember 2016, air ketuban saya pecah, iaitu salah satu tanda kelahiran anak saya dan saya tahu dalam masa 24 jam ini saya perlu melahirkannya. Jadi saya dan suami pun bersiap untuk pergi ke hospital. Suami saya teruja pada masa itu, dia siapkan makanan sekali agar saya cukup tenaga untuk melahirkan anak kami nanti. 

    Kami pergi ke hospital dengan gembiranya, tak sabar nak bagi adik untuk Rizqi Mukhriz. Selang lima minit kemudian, episod sedih pun bermula. Allahurabbi, saya harap kisah ini tidak terjadi pada sesiapa. 

    Masuk saja ke bahagian labour room, saya dimarahi doktor. 

    "Kenapa awak datang hospital? Awak tak turun tanda lagi, kan?" kata doktor sambil mentertawakan saya. 

    Saya beritahu doktor yang saya dah rasa ada air keluar dari kemaluan saya, tetapi sedikit dan saya dapat rasa itu air ketuban.

    Ketika itu saya rasa sakit sangat, contraction menyerang setiap 20 minit. Tetapi doktor di situ tidak mengendahkan saya, malah membiarkan tanpa buat CTG, walhal lagi beberapa minit inshaAllah saya dah boleh melahirkan anak. 

    Saya diminta bermalam di bilik menunggu. Bayangkan, ketika itu saya sepatutnya sudah masuk labour room tetapi saya dibiarkan di situ. Saya patuh cakap doktor juga sebab saya percaya mereka lebih arif dalam semua ini. 

    Keesokan harinya, 23 Disember, sebelum Subuh saya perasan ada cecair berwarna hijau keluar dari kemaluan saya. Allah, anak saya dah membuang ke ni? Selepas saya maklumkan pada doktor, saya segera dibawa ke labour room. Kali ini sakitnya lain sekali. Saya menjerit di situ meminta doktor melakukan sesuatu sebab sakitnya lain macam. 

    Saya ingatkan jururawat di situ faham dan cakap baik-baik menenangkan saya seperti jururawat yang menyambut anak pertama saya dulu. Rupa-rupanya lain. 

    "Mana ada orang beranak tak sakit puan"

    Ya Allah, hati saya bertambah sedih dan down ketika tiada siapa yang memahami keadaan saya pada ketika itu. 

    "Hei! Kenapa biar ibu ini macam ini? Dia dah nampak pucat dah ni. Siapa yang uruskan ibu ini?!" tiba-tiba muncul Doktor Yusrina yang sangat baik, memarahi semua doktor dan jururawat di situ kerana membiarkan saya.

    Doktor Yusrina memberi arahan kepada jururawat lain dan datang kepada saya, mengusap dahi dan rambut serta menenangkan saya. 

    "Sabar ya puan, saya faham, puan istighfar ya. Saya ada di sebelah puan, saya datang nak tolong puan," katanya.

    Dalam keadaan terlalu lemah seperti nyawa ditarik, saya pegang tudung Doktor Yusrina dan mohon dia selamatkan anak saya. Walaupun Doktor Yusrina tidak bertugas pun masa itu, tetapi dia nak sangat tolong saya. Allah, baiknya malaikat bertopeng manusia ini. Walaupun mata saya hanya mampu pejam ketika itu, tetapi saya dapat rasa doktor yang datang seperti malaikat itu datang menyelamatkan saya dan keadaan.

    Ketika itu, bukaan dah 8 cm. Jururawat meminta saya teran dan ketika itulah saya rasa tiga pergerakan terakhir Muhammad dalam rahim saya. Selepas melahirkan Muhammad, dia tidak bernafas selama seminit dan doktor terus bawa pergi anak saya. 

    Ketika itu, saya dalam keadaan tidak sedar. Anak telah dibawa ke NICU kerana oksigen tidak sampai ke otak dan kerap berdepan sawan. 

    Selepas sedar, doktor pula mengesahkan rahim saya mengalami kerosakan 90%. Ya Allah, ujian apakah ini? Semalam, kami gembira sekali menunggu kehadiran Muhammad, tak sangka hari ini Muhammad terpaksa dimasukkan ke NICU. 

    Pada 25 Disember 2016, ketika saya melawat Muhammad, saya dapat rasakan Muhammad terlalu sakit, Saya usap ubun-ubun Muhammad, berdoa dan berzikir serta berpesan kepada anak saya ini. 

    "Andai anak mummy Muhammad seksa di dunia ini, pergilah sayang, Ibu redha..." 

    Berulang kali juga saya memohon kepada Allah agar anak saya disembuhkan dan dipanjangkan usianya. 

    Jam 9 malam, seorang jururawat memanggil saya datang ke NICU. Bertambah lemah diri saya yang sedia lemah, saya dapat merasakan sesuatu terjadi pada Muhammad. Namun saya cuba untuk kuat. 

    Luluh jantung saya bila Muhammad telah kembali kepada Allah. Anak saya, jantung saya, anak yang bermain dan bersama saya sepanjang 9 bulan, kini telah pergi. Saya tenung wajah dia, cium dan bau sedalam-dalamnya bau anak saya. Saya sentuh jarinya, kucup pipinya berulang kali, saya usap ubun-ubunnya, saya dakapnya dengan erat. Allahuakbar, cukup sempurna anak saya ini. 

    Demi Allah, sekuat manapun saya, memang tidak mampu menahan sebak. Saya menangis di situ dan cium anak saya berulang kali. Saya tidak sempat pun beri setitik susu saya pada Muhammad. Kalaulah sempat, mesti Muhammad lebih sihat, kan sayang? Saya takkan lupa anak saya yang comel ini, Mummy sayang Muhammad. 


    Sayu perkarangan rumah kami, lebih sayu lagi hati setiap keluarga kami. Abangnya, Rizqi seolah-olah faham apa yang terjadi membuatkan kami semua sebak. 

    "Adik abang, Muhammad ini pakai kain putih ini nak pergi syurga? Alaa, macam mana abang nak bermain-main dengan adik abang ni? Tak apalah, adik pergi syurga ye..."

    Berlinangan air mata kami. 

    Penantian selama 9 bulan diakhiri dengan ujian ini. Selesai proses pengebumian, ramai saudara yang meminta kami mengambil tindakan terhadap pihak hospital. Walaupun ketika itu luluh hati saya kerana kehilangan anak disebabkan layanan seorang doktor dan beberapa jururawat yang ambil lewa terhadap kesakitan saya, namun saya bersyukur Allah beri fikiran yang baik untuk saya pada ketika itu. 

    Saya jelaskan kepada semua yang meminta saya menuntut keadilan bahawa, doktor adalah malaikat bertopeng manusia yang datang menyelamatkan kita. Ya, walaupun ada yang tidak baik, yang sengaja berlaku 'kejam' dengan kita, namun ramai yang terlalu baik buat saya dan kita semua. Disebabkan itu, walaupun saya berasa sedih dengan kejadian ini sebab ia melibatkan anak saya sendiri, tetapi saya perlu akur mereka juga manusia sama seperti kita. Saya berdoa agar tiada lagi doktor dan jururawat seperti ini. 

    Takdir dan ketentuan itu milik Allah, semua ini hak dan milikNya. Siapa kita nak terus menyalahkan orang lain? Saya redha. Kalau saya fikirkan semua ini (tindakan undang-undang), Muhammad tetap tidak akan kembali dan dia sudah pun sampai di syurga yang abadi. 

    Pesan saya kepada ibu-ibu semua, tolonglah pelajari ilmu kehamilan. Kalau anda tahu itu adalah air ketuban, tahu prosedur melahirkan anak dan tahu jelaskannya, nescaya doktor akan lebih faham. 

    Pesan saya buat doktor dan jururawat, tolonglah, ketika kami sakit kami tidak tahu apa yang patut kami lakukan. Kami serahkan segala-galanya kepada Allah dan rawatan kalian. Tetapi saya mohon janganlah down dan sindir kami sehingga kami rasa terlalu terabai ketika kami perlukan bantuan. Cakaplah baik-baik dengan kami. Sesungguhnya ilmu kami tidak setanding dengan kalian. Kami benar-benar menghormati ilmu dan kehebatan yang ada pada kalian. Tolonglah hormati kami juga. 

    Kepada semua, biarpun adakalanya kita berdepan dengan semua ini disebabkan orang lain dan terasa sakit itu pedih sekali, tetapi janganlah lupa apa yang terjadi ini disebabkan ketentuan yang Maha Esa. Saya percaya Allah menjemput Muhammad mungkin disebabkan Allah tidak mahu Muhammad berdepan kesakitan yang lebih teruk jika dia ada bersama kami ketika ini. 

    Damailah dikau di sana anak syurgaku. Mummy sayang anak mummy. Saya tak putus doa untuk Muhammad. Saya takkan putus melawat anak saya. Rindu sangat dengan bau syurga anak saya itu. Bermain-mainlah dikau di sana anakku, Muhammad. 

    Luahan dari Noor Azieyani Haeruddin kepada laman 9bulan10hari

    Perkongsian ini mendapat kebenaran dari pemilik laman 9 bulan 10 hari untuk disiarkan di The Reporter. 

    No comments

    Post Top Ad

    Post Bottom Ad