Doa Ajal Di Bulan Ramadan Termakbul.

Doa Ajal Di Bulan Ramadan Termakbul. “ARWAH pernah beritahu alangkah baik jika dia meninggal di bulan Ramadan,” kata Jamaliah Mohd Amin, 55, isteri kepada Pegawai Bomba Tinggi Zainal Ahmad.


Doa Ajal Di Bulan Ramadan Termakbul

Dalam kejadian pada 7.40 pagi hari ini, Zainal, 57, maut dalam kemalangan di Kilometer 277.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.

Zainal yang berkhidmat di Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan dalam perjalanan ke tempat kerja di Seremban 2 sebelum skuter ditunggang hilang kawalan dan merempuh belakang lori tunda yang berhenti di tepi jalan.

Menurut Jamaliah, dia bersama suami sempat bersahur dan menunaikan solat Subuh di surau berhampiran rumahnya di Kuarters Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, sebelum suaminya bersiap untuk ke tempat kerja.

“Ketika bersiap, arwah suami memakai baju-T terbalik dan menyedarinya tetapi tidak mempedulikannya kerana mungkin dia sudah terlambat.

“Namun, dia sempat membelai kucing di luar rumah dan menoleh kepada saya, tidak seperti kebiasaannya terus pergi kerja. Saya tidak menyangka ia petanda arwah akan meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

Katanya, dia pasti merindui arwah suaminya kerana menjadi rutin mereka berbuka puasa dan menunaikan solat terawih serta tadarus bersama sepanjang Ramadan.

“Allah jemput suami saya di bulan baik, dan saya reda dengan pemergiannya,” kata ibu kepada tiga anak berusia 24 hingga 30 tahun.

Sementara itu, Pengarah JBPM Negeri Sembilan Norazam Khamis yang ditemui ketika menziarahi keluarga arwah di HTJ berkata, pihaknya membantu menguruskan jenazah arwah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, selepas solat Zuhur.

Artikel The Viral News Lainnya :

0 comments:

Post a Comment

Scroll to top